Pada 12 November 2010, Smart Camp sekali lagi telah diberi kepercayaan untuk menguruskan program Educational Trip to UTM yang ditaja oleh Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Program yang berbentuk lawatan sambil belajar ini merupakan salah satu daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat daripada pihak PTP untuk masyarakat amnya dan khususnya kepada masyarakat sekitar Gelang Patah. Seramai 40 orang pelajar dan 4 orang guru pengiring daripada 4 buah sekolah sekitar kawasan Gelang Patah telah dipilih untuk menyertai program lawatan sambil belajar ini.
~ Educational Trip to UTM ~ |
Objektif utama lawatan ini adalah untuk memberikan pendedahan awal dan kesedaran kepada peserta mengenai kehidupan, suasana serta cara hidup mahasiswa di universiti khususnya UTM. Dengan 10 orang fasilitator yang terdiri daripada ahli Smart Camp sendiri, para peserta dapat mendekati dan mendalami dengan lebih terperinci melalui pengkongsian pengalaman fasilitator bersama para peserta.
~ Khusyuk mendengar taklimat ringkas ~ |
Dengan tema "Melangkah Setapak ke Menara Gading" para peserta terlebih dahulu diberikan taklimat dan kata-kata semangat serta ujian personaliti daripada Mejar Kamarul mengenai hala tuju mereka. Sebelum taklimat diberikan, para peserta telah dibawa melihat suasana mahasiswa UTM sedang menghadapai peperiksaan akhir di Dewan Sultan Iskandar (DSI). Secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa kehidupan zaman persekolahan dan zaman universiti adalah amat berbeza.
~ Bergambar kenangan di PSZ ~ |
Seterusnya setelah tamat sesi taklimat dan melihat suasana di DSI, para peserta telah dibawa ke Bangunan Persatuan Pelajar (SUB) bagi menikmati makanan tengah hari. Memang disengajakan bagi pihak urusetia dan penganjur untuk para peserta menjamu selera bersama-sama dengan mahasiswa UTM supaya mereka merasai sedikit perasaan dan suasana sebagai mahasiswa. Para peserta juga telah bersama-sama untuk solat Jumaat di Masjid Sultan Ismail (MSI).
~ selesai daripada Solat Jumaat ~ |
~ sesi LDK ringkas bersama fasi ~ |
Setelah habis solat Jumaat, bagi menunggu masa untuk lawatan ke Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ), para peserta telah dipecahkan kepada 4 buah kumpulan bagi sesi ice-breaking bersama fasilitator. Melalui slot Latihan Dalam Kumpulan (LDK) ini, para peserta dan fasilitator semakin dekat dan membuatkan peserta semakin rapat bersama fasilitator. Dengan adanya slot seperti ini amat bermakna walaupun sekejap kerana dengan adanya sesi ini, peserta terasa dihargai dan tidak terlampau malu untuk berkongsi dan bertanya kepada fasilitator.
~ penerangan daripada pegawai PSZ ~ |
Tamat sesi ice breaking, peserta dibawa melawat PSZ dengan penerangan diberikan oleh pustakawan. Suasana lawatan ke PSZ amat menarik perhatina peserta dengan jumlah buku yang hampir 4 juta serta perkhidmatan yang ditawarkan amat menarik seperti penggunaan internet yang percuma, jumlah buku yang amat banyak serta terdapat juga kawasan refreshment. Seterusnya, para peserta dibawa melihat salah satu kolej kediaman mahasiswa UTM iaitu di Kolej Perdana. Para peserta dibawa merasai suasana berada di 'rumah' mahasiswa.
~ saat-saat terakhir bersama fasi ~ |
~ bergambar kenangan fasi dan adik-adik ~ |
Educational Trip ini diakhiri dengan jamuan minum petang di Cafe Kolej 9. Walaupun lawatan ini amat singkat, namun maklum balas daripada para peserta amat memuaskan hati. Mereka terasa amat dekat dengan mahasiswa UTM terutamanya barisan fasilitator sendiri dan dengan ini pihak Smart Camp amat berbesar hati menerima adik-adik ini dengan sepenuh jiwa. Semoga lawatan seperti ini dapat meningkat semangat dan motivasi dalam diri peserta bagi mencapai matlamat dan cita-cita mereka. Pihak Smart Camp amat berterima kasih kepada pihak Pelabuhan Tanjung Pelepas kerana sudi mengadakan program seperti ini dan semoga kerjasama dua hala ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
tahniah adik2 smartcamp atas kelayakan dan kesudian adik2 (dan kawan2) bekerjasama dgn program yg free2 dapat dari PTP ni.. insyaAllah, selagi sabar & ikhlas, rezeki dari Dia takkan putus..
ReplyDelete